Asal-usul alat-alat muzik tradisional adalah masih lagi dalam kesamaran lantaran tiada bukti yang kukuh mengenai kewujudannya. Walau bagaimanapun, secara amnya muzik tradisional kita dipercayai bermula dari masyarakat primitif yang mengamalkan kepercayaan animisma. Mereka menggunakan tarian (pergerakkan) dan bunyi-bunyian (muzik) dalam upacara penyembahan terhadap kuasa-kuasa ghaib. Pada mulanya muzik dihasilkan dengan suara, tepukan tangan, hentakan kaki dan ketukan kayu. Lama-kelamaan alat-alat seperti seruling mula dicipta akibat dari dorongan akal dan hasrat batin mereka untuk memeriahkan lagi upacara sembahyang mengikut kepercayaan animisma yang dianuti. Pengaruh animisma begitu dominan sekali dan penting sebagai "perlude" dalam setiap persembahan Wayang Kulit dan Mak Yong di Kelantan pada satu ketika dahulu. Namun setelah kedatangan agama Islam maka disiplin teater berkenaan telah menjadi lebih murni dan bermoral. Unsur-unsur yang disifatkan bertentangan dengan nilai-nilai agama Islam telah mula terhakis dan segala "jampi serapah" telah digantikan dengan "doa-doa" pendek.
Sejarah muzik Melayu juga harus dilihat dari sudut dunia Melayu lama yang merangkumi Malaysia, Indonesia, sebahagian negeri Thai, Kampuchea dan Filipina. Terdapat banyak persamaan dari segi alat dan struktur muzik yang digunakan. Walaupun telah dipengaruhi oleh unsur-unsur muzik asing misalnya muzik dari Timur Tengah, Hindu, Indonesia dan Thai, bentuk dan jenis muzik Melayu berjaya mewujudkan identitinya yang tersendiri. Berdasarkan tinjauan yang telah dibuat telah membuktikan bahawa alat-alat dari jenis "knobed gong" dan "mouth organ" seperti "Sompoton" dan "Engkerurai" yang terdapat di Sabah dan Sarawak adalah bermula dari kawasan Asia Tenggara dan tidak pernah menerima pengaruh dari luar.
Pendek kata kebanyakan alat muzik Melayu, kecuali alat-alat gamelan dan angklung adalah berasal dari Timur Tengah dan India serta dibawa ke dunia Melayu melalui agama Hindu dan Islam. Rebab, gendang, rebana, tar dan serunai menyokong pendapat ini. Hanya gong sahaja berasal dari Asia. Lama-kelamaan alat-alat ini telah diserapkan ke dalam negara masing-masing dan membentuk ciri-ciri yang tersendiri tanpa kehilangan identiti asal mereka dan telah digabungkan dengan alat-alat muzik lain untuk menghasilkan muzik Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan