"Kesenian rakyat adalah hasil kreatif yang total, berasaskan tradisi sesuatu masyarakat yang berbudaya, dibentangkan oleh kumpulan atau individu, diterima sebagai contoh harapan sesuatu masyarakat untuk menggambarkan identiti kesenian dan sosialnya, kesusasteraan, muzik, tarian, permainan tradisi, mitologi, ritual, adat resam, senibina dan seni-seni lain..."
Dr. Ariff Ahmad, seorang pensyarah di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya serta penggiat muzik tradisional Melayu di dalam monografnya 'Muzik Tradisional Melayu Akan Berkubur?' berpendapat bahawa di dalam keghairahan kita mengejar taraf 'internasional, moden dan kreatif', terdapat penumpuan yang ketara terhadap nilai-nilai komersilisme dan sensasionisme. Ini ditambah dengan kegiatan secara langsung atau tidak yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu di dalam kegiatan seni negara ini. Beliau telah menyenaraikan 6 masalah utama yang dikenalpasti sebagai pendorong terhakisnya muzik tradisional Melayu:
- Kurangnya pendidikan dan pengalaman di dalam bidang muzik di kalangan remaja
- Kejutan budaya (culture shock) yang dibawa oleh pengaruh-pengaruh luar
- Penekanan gejala komersialisme dan sensasionisme
- Persepsi yang dipengaruhi oleh media massa
- Nilai kreativiti yang berlandaskan nilai asing
- Kemasukan alat-alat teknikal muzik moden
Prof. Mohamed Ghouse Nasuruddin, di dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Seni Persembahan Tradisi Menjelang Awal Abad ke-21’ telah menggariskan beberapa faktor yang boleh mencorak serta merubah kesenian tradisional:
- Hakisan kepercayaan anamisme yang berkaitan dengan persembahan tradisi
- Perubahan corak hidup dan kemajuan pengetahuan sains dan teknologi
- Status ahli pemain tradisi
- Kesedaran keagamaan, terutamanya dalam kalangan orang Melayu
Daripada hasil kajian Dr. Ariff dan Prof. Ghouse di atas, dapatlah kita rumuskan faktor-faktor kehakisan utama terhadap muzik tradisional dan kesenian Melayu keseluruhannya seperti berikut, dengan penambahan kepada faktor politik.
1. Globalisasi
2. Pendidikan
3. Kesedaran Agama
4. Politik
Perkara pertama yang ditekankan oleh Dr. Ariff di atas ialah kurangnya pendidikan muzik di kalangan remaja. Mungkin kurikulum pembelajaran di sekolah-sekolah terutamanya sekolah rendah kurang menitikberatkan aspek kesenian terutamanya muzik tradisional. Ini mungkin disebabkan oleh sikap masyarakat kita sendiri yang tidak begitu mengambil berat hal-hal yang dianggap tidak bermanafaat. John E. Kaemer, seorang profesor emeritus antropologi dari Universiti DePauw, Amerika Syarikat menyebut di dalam bukunya 'Music in Human Life – Anthropological Perspectives on Music';
"Muzik tidak dipersembahkan di dalam vakum dan tidak boleh dianggap sebagai hiburan semata-mata. Muzik mempunyi pertalian yang penting dengan corak ekonomi, tindakan politik, ugama, kesenian - kesenian lain dan bahasa".
Prof. Madya Dr. Mohd Anis Md Nor, seorang pakar etnologi tari dan etnomuzikologi di Universiti Malaya, di dalam mukadimah bukunya 'Zapin - Folk Dance Of The Malay World' ada menyebut,
"tradisi seni persembahan di Malaysia kurang mendapat perhatian para cendikiawan berbanding dengan negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Ini mungkin disebabkan oleh kurangnya minat di Malaysia untuk menimba ilmu, di mana kebanyakan populasi tempatan menganggap bahawa perkara ini tidak ada hubungkaitnya dengan hal-ehwal ekonomi masyarakat dan negara".
Dr. Anis juga berpendapat bahawa golongan muda Malaysia hanya mendapat pengetahuan yang terhad di dalam bidang seni persembahan tradisional melalui sistem persekolahan kebangsaan dan tidak ada institusi pengajian awam atau swasta yang menawarkan kursus seni persembahan tradisional suku kaum. Tambah Dr. Anis, "dengan hanya segelintir cendikiawan tempatan yang cuba (untuk mengkaji seni persembahan tradisional), seni tari dan muzik di Malaysia masih menantikan eksplorasi yang lebih mendalam".
Usaha pendidikan perlu dipertingkatkan lagi di seluruh lapisan masyarakat bukan sekadar pelajar sahaja. Ini dapat meningkatkan lagi tahap apresiasi terhadap kesenian tradisional kita serta mambantu di dalam pemuliharaannya. Akhir-akhir ini nampaknya telah dipertingkatkan usaha melalui saluran media tempatan ke arah matlamat ini. Media massa kebelakangan ini sering menyelitkan sedikit-sebanyak tentang budaya dan kesenian Melayu yang merangkumi sastera, sejarah, kraftangan, senibina, muzik dan sebagainya.
Menurut Tuan Haji Supiat Mukri, bekas pengarah Panggung Negara, arus perjalanan atau evolusi sesuatu bentuk kesenian itu dipengaruhi oleh tiga penggerak utama iaitu:
1. Para seniman, penggiat dan karyawan
2. Para pemikir dan cendikiawan
3. Pihak pemerintah dan institusi politik
"(Ketiga-tiga penggerak) ini tidak akan boleh bersetuju di antara satu sama lain, di mana-mana pun di dunia. Kalau mereka bersetuju bermakna ada sesuatu yang tak kena!", kata beliau. Institusi politik merupakan salah satu aspek yang terpenting di dalam menentukan hidup atau terkuburnya sesuatu bentuk kesenian. Kuasa yang memerintah mempunyai kuasa untuk menghalang sesuatu kesenian daripada dipersembahkan, contohnya pengharaman Wayang Kulit, Main Puteri dan Mak Yong di Kelantan dan Terengganu. Walaupun apa alasannya, pengharaman merupakan satu titik permulaan yang ketara di dalam terhapusnya kesenian tersebut keseluruhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan