I made this widget at MyFlashFetish.com.

Slaid Gamelan IPGM KSAH

Rabu, 30 September 2009

Ciri Muzik Gamelan

Setiap lagu / muzik gamelan adalah berdasarkan kepada satu melodi utama. Setiap alat muzik (berpic|) akan memainkan melodi penuh, sebahagian melodi atau variasi kepada melodi utama tersebut. Ini bergantung kepada jenis alat muzik gamelan tersebut. Secara amnya, alat-alat muzik gamelan berfungsi seperti berikut

Nota ini dikhususkan untuk Laras Slendro sahaja.


Instrumen Balungan


Iaitu instrumen yang memainkan melodi utama sahaja, Contohnya Saron, Bonang, Slanthem dan Gender.

Saron terdiri daripada satu set 6 bilah logam tembaga berat disusun dalam satu oktaf. Bunyinya dihasilkan dengan pukulan malet daripada kayu. Slanthem dan Gander mempunyai pic satu oktaf lebih rendah daripada Saron. Oleh kerana bunyi Saron adalah panjang, maka pemain akan memegang bahagian paling hampir menggunakan tangan kiri untuk menghentikan bunyi yang tidak dikehendaki.

Tedapat 3 istilah yang menunjukkan renj / oktaf dalam muzik gamelan. Istilah Barong merujuk kepada alat yang mempunyai oktaf tengah. Istilah Penerus / Pekin adalah oktaf yang tinggi manakala istilah Demung / Demong untuk oktaf lebih rendah. Contohnya Saron Demung adalah saron yang mempunyai oktaf lebih rendah manakala Saron Pekin adalah Saron yang menghasilkan oktaf pic lebih tinggi.

Terdapat juga sesetengah kumpulan gamelan menggunakan saron daripada buluh atau kayu. Terutama kepada kumpulan yang belum mencapai tahap elit.


Instrumen Masa / Meter


Melodi asas boleh dibahagikan kepada beberapa frasa muzik. Ini disempadani dengan bunyi alat muzik dalam kumpulan ini. Misalnya satu Gongan adalah menunjukkan satu pusingan lagu 16 bit dalam Lancaran Mlaku. Ia ditandakan dengan satu pukulan Gong. Gong mempunyai pic 6. Dalam satu gongan terdapat pula 4 unit seperti bar dalam muzik barat, ia dinamakan Keteg. Ia ditandakan dengan satu pukulan Kenung.



Satu Gongan



1

2

3

4

5

6

7

8

9

10

11

12

13

14

15

16

1

Kenong

G
















G

Kenong

N




N




N




N




N

Ketuk


T


T


T


T


T


T


T


T


Kempul



P




P




P




P




Terdapat satu perbezaan utama dalam sistem kiraan bar dengan Keteg. Dalam notasi barat, bit pertama adalah detik paling berat / kuat manakala dalam sistem Keteg, bit keempat adalah detik yang paling kuat. Jika dinotasikan secara barat, kelihatan seolah detik keempat dalam Keteg adalah merupakan detik pertama bar berikutnya dalam sistem notasi barat.

Alat muzik yang berfungsi mengawal frasa lagu dalam gamelan ialah Gong Agung, Kenung, Ketuk dan Kempul / Gong.


Instrumen Penerusan


Kumpulan ini akan memainkan melodi utama tetapi menggunakan not yang lebih kecil. Misalnya jika melodi utama memainkan melodi berikut


3 3 2 1 dan seterusnya


maka kumpulan alat muzik penerus akan memainkan


3 3 3 3 2 2 1 1 dan seterusnya


Alat dalam kumpulan ini ialah Gambang dan semua jenis alat yang dirujuk sebagai Penerus atau Pekin. Selain daripada itu, dalam kumpulan gamelan yang besar terdapat juga Celempong (sejenis alat bertali seperti Harp).

Dalam kumpulan muzik yang mahir, pemain akan memainkan variasi kepada melodi utama.


Instrumen Rentak


Alat yang terpenting memainkan rentak ialah gendang. Terdapat sepasang gendang iaitu Gendang Gending (Gendang Ibu) dan Ketipung (Gendang Anak). Dalam kumpulan gamelan yang lebih besar, Baduk juga ada digunakan.

Kebanyakan notasi alat muzik gamelan menggunakan nombor yang melambangkan picnya. Bagi notasi gendang gamelan, ia menggunakan lambang Mnemonik yang yang melambangkan bunyi gendang. Ia dihasilkan menggunakan teknik-teknik tertentu dalam membuat pukulan gendang.

Alat-Alat Gamelan Malaysia

1.Bonang

Bonang mengandungi 2 oktaf yang berlaras 'anhemitonic pentatonic'. Sifat bunyi berprinsip kepada dengung secara dikotomi 'bonang' yang beroktaf rendah dikenali sebagai 'wedok'(perempuan) dan yang beroktaf tinggi sebagai 'lanang' (lelaki) mengikut bahasa Jawa.Bonang merupakan alat terpenting dalam essemble yang menvariasikan melodi pokok ataupun satu melodi pendek yang juga berfungsi sebagai intro lagu khususnya untuk gendhing bonang (penghias lagu).Bonang dimainkan dengan menggunakan pengetuk kayu yang hujungnya berbalut. Bonang membunyikan bunga-bunga melodi dan dimainkan secara oktaf, ketukan bergilir nod pertama diketuk sebelum rentak dan kedua selepas rentak.

A [ 6 5 3 2 1 ]

--------------------

B [ 1 2 3 5 6 ]

Bonang mempunyai 2 rancak, satu rancak adalah untuk bonang laras slendro yang berisi 12 pencon dan satu lagi adalah untuk laras pelog yang berisi 14 pencon. Slendro mempunyai 10 buah pencon yang setiap satunya berbeza nada yang diapung di dalam ruang rak segiempat di atas dan mempunyai 2 baris atas(nada tinggi) dan bawah (nada rendah). Ia dimainkan menggunakan 2 belah tanga, masing-masing memgang alat pemukul.

2. Gambang


Gambang adalah sejenis alat muzik 'metallaphone' yang diperbuat daripada kayu keras seperti cengal, medang atau dari batang nibong.Gambang mempunyai 4 oktaf panjang dan mempunyai 21 keping kayu berbentuk 4 segi panjang dan tiap-tiap satu berbeza panjangnya dan tebalnya. Kepingan kayu ini terletak di atas kotak kayu panjang yang diasingkan setiap bilahnya dengan sebatang paku. Gambang biasanya dimainkan oleh seorang pemain sahaja. Pemain memerlukan 2 bilah pengetuk yang diperbuat daripada tanduk kerbau ( pemegang) dan bahagian pemukulnya berbentuk bulat pipih dengan tepinya disalut dengan lilitan kain.Alat pemukul ini juga dikenali sebagai 'mallet'.Cara permainannya ialah dengan mengetuk menggunakan kedua-dua belah tangan secara serentak mengikut not-not lagu Bunyi gambang berbeza daripada alat lain kerana bunyinya adalah paling rendah berbanding alatan lain yang diperbuat daripada logam.

3. Kenong

Kenong adalah sejenis alat idiophone yang ditemui di Asia Timur Selatan. Kenong mempunyai satu set alat yang menyerupai gong tetapi lebih nipis dan bulat berbanding gong yang berbentuk pipih dan lebih tebal. Alat ini diletakkan di atas tali tang diikat pada kayu yang diperbuat daripada kayu keras untuk menghasilkan nada merdu setelah diketuk dengan menggunakan aalat pengetuk seperti alat pengetuk bonang. Alat pengetuk kenong terdiri daripada kayu dan tali yang dililit pada bahagian atas kayu tersebut.Kenong dimainkan dengan cara mengetuk sekali setiap not lagu. Peranannya adalah untuk mengeluarkan bunyi yang lebih lembut daripada bunyi yang dihasilkan oleh gong.
Not pada alat kenong:
1 2 3 5 6 --------------------------

4. Saron

Alat idiofon yang berbentuk bilahan ataupun 'slap-type' yang diperbuat daripada perunggu. Bilah-bilah tadi disusun di atas tapak kayu dan disokong oleh bahan pengalas sebagai memenuhi prinsip ekustiknya. Pada tapak berkenaan satu ruang udara telah dibuat bagi mengimbangi suaranya dan sekaligus bertindak sebagai ruang gema bagi alat saron berkenaan. Bilahan bagi alat saron lazimnya dibuat daripada besi yang menggunakan teknik kikir dan tempa.

i. Saron Demong

Saron demong berperanan sebagai alat yang membawa melodi pokok dan melodi cincang sebagai bunga-bunga lagu dalam persembahan dan mempunyai oktaf yang terendah dalam keluarga saron. Ianya dilaraskan mengikut sistem skala 'anhemitonic pentatonic'.Dalam proses penghasilan bunyi, kayu pemukul khas digunakan lasimnya dari jenis yang lembut.

ii. Saron Penerus


Alat ini mempunyai oktaf tengah yang juga berperanan membawa melodi pokok dan cincang. Pada fizikalnya, bilah-bilah bagi alat saron barung berukuran lebih kecil daripada saron demong dan mampu menghasilkan suara yang lebih nyaring daripada saron demong. Dari segi pemakaian alat, teknik 'perdam' digunakan pada nada-nada tertentu mengikut konteks lagunya. lni bagi mengelakkan daripada berlakunya pencemaran bunyi setelah ianya dimainkan secara serentak.Alat pemukulnya yang berbentuk seperti penukul (hammer) diperbuat daripada jenis kayu yang lembut.

iii. Saron Pekin

Alat ini pula merupakan alat penambahan baru bagi essemble Gamelan Melayu. Teknik perdam juga diamalkan dalam konteks pemakaiannya dan ianya mempunyai oktaf tertinggi dalam keluarga saron serta mampu menghasilkan suara lantang dan nyaring. Dari segi fizikalnya, saron pekin mempunyai bilah yang berukuran lebih kecil tetapi lebih menebal jika dibandingkan dengan bilah yang ada pada saron penerus. Alat pemukul bagi saron pekin juga berbentuk penukul yang diperbuat daripada tanduk kerbau.

5. Gong


Gong adalah sejenis alat muzik 'idiophone' berasal dari Asia Timur Selatan. Gong penting berperanan sebagai bunyi tulang belakang dalam essemble persembahan muzik gamelan. Alat ini terdiri daripada pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza setiap satunya dan dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu. Kebiasannya, 1 atau 2 drum turut dimainkan serentak untuk mempelbagaikan irama muzik yang lebih unik. Gong telah banyak dijumpai di seluruh Malaysia sebagai alat utama dalam upacara khas dan persembahan muzik tradisional. Alat ini terjamin berkualiti tinggi kerana cara penbuatannya adalah sukar dan memerlukan kos yang agak tinggi. Alat ini diimport dari Indonesia, Filipina dan Brunei. Gong tempatan mempunyai 'shallow rims' dan 'small boss'. Melodi yang dihasilkan adalah untuk memberi isyarat pada permulaan dan penghabisan sesuatu lagu.

6.Gendang(The leader of music gamelan instruments)


Gendang merupakan salah satu alat yang perlu dimainkan dalam setiap persembahan gamelan.Tanpa pukulan gendang, irama gamelan akan menjadi tidak lengkap malah pincang. Gendang dalam gamelan mempunyai fungsi tersendiri yang sifatnya tiada pada alat-alat lain. Gendang merupakan alat membraphone. Membraphone merupakan alat muzik yang terdiri daripada selaput-selaput kulit. Alat-alat membraphone dimainkan dengan cara tabuhan.. Oleh itu gendang merupakan alat tabuhan yang istimewa yang mempunyai sejarah pembuatan yan lama dan berkembang kepada variasi alat-alat tabuhan istimewa dan pelbagai.

Komposisi Gendang:

· Diperbuat daripada kayu,kulit binatang dan tumbuhan rotan.

· Badan gendang diperbuat daripada batang nangka atau batang cempedak.

· Boleh diperbuat daripada batang kelapa yang sederhana besar.

· Batang dikorek untuk dilubangkan bahagian tengahnya, hinggga tinggal bahagian kulit batang setebal lebih kurang setengah inci.

· Bahagian depan (sebelah umbi) ditarah dan dikecilkan sedikit dari bahagian tengah dan bahagian hujungnya ditarah lebih kecil lagi hingga menjadikannya berbentuk bujur membesar bahagian tengahnya.

· Kedua-dua hujung rangka ditutup dengan kulit binatang sama ada kulit kambing, lembu atau kerbau.

· Sebelah tepi dicucuk dengan rotan dan ditarik sehingga tegang selari dengan batang yang menjadi kerangka gendang.

· Kebiasaanya bahagian yang kecil dicucuk dengan 6 urat rotan, manakala bahagian yang besar dengan 9 urat rotan.

· Antara rotan -rotan ini dikaitsilangkan dengan tali rotan.Fungsi Gendang

Gendang adalah alat penting di dlaam memimpin rentak bunyian baik rendah ataupun tinggi. Ia dianggap alat yang paling sukar dimainkan, dan memerlukan kemahiran yang tinggi di dalam permainan lantaran tidak mudah untuk diberi notasi.

Isnin, 28 September 2009

Gamelan Di Malaysia

Terdapat 2 jenis gamelan yang terkenal iaitu Gamelan Johor dan Gamelan Terengganu. Kedua-dua gamelan ini berasal dari Jawa Indonesia. Gamelan Johor lebih dekat dengan gamelan asal yang terdapat di Jawa Indonesia. Ia didatangkan bersama penghijrahan kaum Jawa di Indonesia pada abad Ke-14 dan Ke-15. Gamelan Jawa ini terkenal di Johor dan Selangor dimana penempatan kaum Jawa berada.

Gamelan Terengganu dikaitkan dengan muzik istana. Pada mulanya ia dibawa masuk ke Pahang selepas perkahwinan Raja Ahmad (Pahang) pada 1811 dengan puteri dari kerajaan Riau Lingga. Permaisuri Raja Ahmad, membawa set alat dan pemain gamelan dan ia kemudiannya menjadi terkenal di istana Pahang. Gamelan di Pahang menjadi malap selepas kematyian Sultan Ahmad. Puteri Sultan Ahmad membawa gamelan ke Terengganu apabila berkahwin dengan Tengku Zainal Abidin Terengganu. Sejak itu ia menjadi terkenal dan dimainkan dalam istana sahaja.

Tahun 1970an Tan Sri Mubin Shepperd, berjaya membawa keluar muzik ini untuk menjadi muzik yang diterima oleh rakyat kebanyakan. Sejak itu gamelan ini mengalami banyak perubahan dan ianya lebih bercirikan Melayu dan akhirnya juga dikenali sebagai Gamelan Melayu.

Asal Usul

Gamelan adalah salah satu genre muzik yang amat popular di dunia. Ia dikatakan berasal dari kepulauan Jawa dan Bali di Indonesia. Gamelan sendiri berasal daripada perkataan Jawa GamÄ•l yang bermaksud “pukul” atau “tabuh”. Ia bersempena dengan kebanyakan peralatan muzik atau Ricik dari jenis pukulan.

Muzik Gamelan menjelaskan kepercayaan dan perasaan yang mendalam terhadap kehidupan dalam masyarakat Indonesia. Ia selalu dikaitkan dengan upacara ritual kelahiran, perkahwinan dan kematian. Di kampung-kampung Gamelan dimainkan di berandar khas berbentuk 4 segi di hadapan rumah. Berbeza dengan Gamelan yang dimainkan di istana, Gamelan yang dimainkan di kampung adalah lebih mudah – ianya dibuat daripada logam tembaga, kayu dan buluh sahaja.

Secara tradisionalnya Gemalan dimainkan oleh lelaki sahaja. Ianya dimainkan secara berkumpulan, dan tidak ada seorang pun pemain yang kelihatan menonjol dalam sesuatu persembahan.

Gamelan diturunkan ke generasi berikutnya dengan cara peniruan dan ingatan sahaja. Namun hari ini teknik pengajaran yang lebih sistematik telah diujudkan, antaranya dengan penulisan notasi menggunakan huruf dan nombor-nombor sebagai panduan pemain. Namun begitu notasi seperti ini tidak melambangkan bunyi sebenar kerana apa yang dicatat hanyalah melodi asas sahaj. Ianya perlu dianalisis oleh pemain terlebih dahulu sebelum dimainkan. Ini kerana setiap alat dimainkan secara berbeza diantara satu sama lain.

Alat muzik Gamelan dibuat dalam satu set. Ini menyebabkan tiada keselarasan diantara satu set gemelan dengan set gamelan yang lain – dari segi picnya.

Peralatan Muzik Melayu Tradisional

Asal-usul alat-alat muzik tradisional adalah masih lagi dalam kesamaran lantaran tiada bukti yang kukuh mengenai kewujudannya. Walau bagaimanapun, secara amnya muzik tradisional kita dipercayai bermula dari masyarakat primitif yang mengamalkan kepercayaan animisma. Mereka menggunakan tarian (pergerakkan) dan bunyi-bunyian (muzik) dalam upacara penyembahan terhadap kuasa-kuasa ghaib. Pada mulanya muzik dihasilkan dengan suara, tepukan tangan, hentakan kaki dan ketukan kayu. Lama-kelamaan alat-alat seperti seruling mula dicipta akibat dari dorongan akal dan hasrat batin mereka untuk memeriahkan lagi upacara sembahyang mengikut kepercayaan animisma yang dianuti. Pengaruh animisma begitu dominan sekali dan penting sebagai "perlude" dalam setiap persembahan Wayang Kulit dan Mak Yong di Kelantan pada satu ketika dahulu. Namun setelah kedatangan agama Islam maka disiplin teater berkenaan telah menjadi lebih murni dan bermoral. Unsur-unsur yang disifatkan bertentangan dengan nilai-nilai agama Islam telah mula terhakis dan segala "jampi serapah" telah digantikan dengan "doa-doa" pendek.

Sejarah muzik Melayu juga harus dilihat dari sudut dunia Melayu lama yang merangkumi Malaysia, Indonesia, sebahagian negeri Thai, Kampuchea dan Filipina. Terdapat banyak persamaan dari segi alat dan struktur muzik yang digunakan. Walaupun telah dipengaruhi oleh unsur-unsur muzik asing misalnya muzik dari Timur Tengah, Hindu, Indonesia dan Thai, bentuk dan jenis muzik Melayu berjaya mewujudkan identitinya yang tersendiri. Berdasarkan tinjauan yang telah dibuat telah membuktikan bahawa alat-alat dari jenis "knobed gong" dan "mouth organ" seperti "Sompoton" dan "Engkerurai" yang terdapat di Sabah dan Sarawak adalah bermula dari kawasan Asia Tenggara dan tidak pernah menerima pengaruh dari luar.

Pendek kata kebanyakan alat muzik Melayu, kecuali alat-alat gamelan dan angklung adalah berasal dari Timur Tengah dan India serta dibawa ke dunia Melayu melalui agama Hindu dan Islam. Rebab, gendang, rebana, tar dan serunai menyokong pendapat ini. Hanya gong sahaja berasal dari Asia. Lama-kelamaan alat-alat ini telah diserapkan ke dalam negara masing-masing dan membentuk ciri-ciri yang tersendiri tanpa kehilangan identiti asal mereka dan telah digabungkan dengan alat-alat muzik lain untuk menghasilkan muzik Melayu.

Jenis-Jenis Gamelan

Gamelan Jawa
http://www.youtube.com/watch?v=gz57JCAiVKw


Gamelan Bali

http://www.youtube.com/watch?v=ldPMifPbngc


Gamelan Sunda

http://www.youtube.com/watch?v=5ghJJq5yOyI


Gamelan Banyuwangi

http://www.youtube.com/watch?v=Qyk03Kf9TZM


Gambang Kromong

http://www.youtube.com/watch?v=KJ7aBjSkG9c


Gamelan Amerika (American Gamelan)

http://www.youtube.com/watch?v=SDq86h0U6QQ


Ahad, 27 September 2009

Sejarah Muzik Gamelan

Gamelan adalah himpunan alat muzik yang biasanya menonjolkan metalofon, gambang, gendang, dan gong. Orkes gamelan kebanyakan terdapat di pulau Jawa, Madura, Bali, dan Lombok di Indonesia dalam pelbagai jenis ukuran dan bentuk ensembel. Di Bali dan Lombok hari ini, dan di Jawa lewat abad ke-18, istilah gong lebih dianggap sinonim dengan gamelan.

Perkataan "gamelan" berasal daripada perkataan Jawa "gamel", bermaksud memukul ataupun tukul. Gamelan Pahang diperkenalkan ke Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Tengku Ampuan iaitu Wan Fatimah telah meningkatkan muzik gamelan dan diikuti oleh isteri kedua Sultan iaitu Che Bedah. Puteri mereka iaitu Tengku Ampuan Mariam telah berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada 1913, dan telah membawa gamelan ke Terengganu.

Pada tahun 1914,apabila Sultan Ahmad Mangkat, isterinya Cik Zubedah telah berangkat ke Terengganu untuk tinggal bersama puterinya, Tengku Ampuan Mariam di istana. Tengku Ampuan Mariam amat meminati gamelan dan dengan itu pada 1915, set gamelan di bawah jagaanya di Pahang telah dibawa ke Istana Maziah Terengganu. dan melatih pemuda-pemudi Terengganu untuk bermain/menari gamelan.

Pada 1920, selepas kemahkotaan Sultan Sulaiman, usaha dipergiatkan dengan membawa bekas penari Pahang, Yang Khoja dan Cik Meriam untuk melatih penari Terengganu dan dinaungi oleh Tengku Ampuan Mariam sendiri.

Demikian pula, En, Wan Mohd, En.Wan Ahmad & En.Ahin, bekas pemain muzik Pahang bersama melatih kumpulan Terenganu yang dikelolakan oleh Sultan Sulaiman. Sehingga 1936, Sultan dan permaisuri berjaya memiliki set sendiri.

Berbagai-bagai lagu dan tarian dicipta termasuk lambang sari, geliung, ketam renjong, togok, gagak seteru, lancang kuning dan sebagainya. Tengku Ampuan Mariam telah menulis sebuah manuskrip mengenai tarian sementara Sultan Sulaiman telah bertanggungjawab menukarkan nama "Joget Pahang" kepada "Joget Gamelan Terengganu".

Bagaimanapun gamelan Terengganu mengalami kejatuhan pada zaman penaklukan Jepun,1941 dan kemangkatan Sultan Sulaiman,1942. Tengku Mariam berpindah ke Istana Kolam dengan membawa set gamelan bersama 2 orang bekas penarinya, Cik Adnan Abd. Set gamelan telah dikembalikan ke Pahang, 1973 setelah berlakunya tawar-menawar yang tidak menyenangkan antara kerajaan Pahang dan kerajaan Terengganu. Set Gamelan tersebut telah dianugerahkan kepada Muzium Pahang di Pekan dan dipamerkan.

Gamelan Malaysia: Ke Mana Arahnya?

Seni Gamelan Malaysia dipercayai berasal daripada Riau-Lingga dan diperkenalkan di Pahang pada awal kurun ke-19 apabila satu kumpulan pemuzik gamelan bersama satu kumpulan penari yang dikenal dengan panggilan kumpulan joget gamelan diperkenalkan di Pekan, Pahang. Seni itu dijadikan hiburan dalam istana di Pekan dan mencapai tahap kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad (memerintah 1863-1914). Gamelan diterima sebagai muzik istana selama beberapa ketika tetapi diketepikan pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah.

Muzik gamelan tidak kedengaran selama beberapa tahun sehinggalah pada akhir kurun ke-19 berpindah ke Terengganu dan pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin gamelan dijadikan muzik rasmi di istana Kuala Terengganu. Seni gamelan di Terengganu mencapai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman (1920-1942). Kemangkatan Sultan Sulaiman menyebabkan seni gamelan sekali lagi tidak diperdengarkan. Tetapi dengan adanya usaha Tuanku Mariam, seni gamelan terus dimainkan walaupun terhad dalam kawasan istana sahaja.

Rakyat jelata hanya mengetahui seni muzik gamelan pada tahun 1962 apabila muzik itu pertama kali dirakam dan disiarkan oleh Radio Malaya (sekarang Radio Televisyen Malaysia). Akhirnya ramai yang mendesak supaya seni gamelan diperkembangkan ke seluruh negara. Usaha itu bermula pada tahun 1969 selepas diperkenalkan di Festival Muzik dan Drama Asia Tenggara di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Perkembangan dalam kegiatan seni muzik gamelan mula diusahakan oleh peminat seni itu. Mereka mengadakan penyelidikan, mengadakan ceramah dan bengkel. Banyak juga pihak yang berusaha membuat pembaharuan dalam usaha membangunkan seni gamelan. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (sekarang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) pada waktu itu telah memulakan usaha memperkembangkan seni gamelan dengan menggalakkan penubuhan kumpulan muzik gamelan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Jurulatih seni muzik gamelan dari Terengganu dilantik untuk melatih kumpulan yang telah ditubuhkan. Kegiatan ini berkembang ke beberapa badan korporat seperti Penerbangan Malaysia, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, Telekom, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, PETRONAS dan banyak lagi. Perkembangan ini menjadi luas apabila ada badan kesenian lain yang berusaha menubuhkan kumpulan gamelan masing-masing.

Sambil bilangan kumpulan gamelan bertambah di seluruh negara, ada juga usaha untuk memperkembangkan seni muzik gamelan dari segi lagu ciptaan baru dan cara permainan yang lebih dinamik dan terkini. Muzik gamelan yang mula diperkenalkan di Terengganu adalah berbentuk asas iaitu tiap-tiap lagu yang dimainkan mempunyai melodi dan rentak sahaja. Tidak ada gubahan khas yang digunakan dan oleh sebab itulah ada orang yang berpendapat gamelan itu membosankan. Begitu juga dengan jumlah lagu yang biasa dimainkan oleh kumpulan asal di Terengganu. Cuma ada lebih kurang 34 lagu sahaja yang di senaraikan, tidak termasuk beberapa lagu tradisional yang disesuaikan untuk dimainkan oleh kumpulan gamelan seperti lagu “Timang Burung”. Lagu itu sebenarnya adalah lagu Melayu berentak asli yang telah terkenal yang dimainkan dengan menggunakan alat muzik asli tetapi kemudian telah disesuaikan dengan permainan gamelan.

Kebanyakan daripada 34 lagu asli yang tersebut mungkin adalah sebahagian daripada lagu yang berasal dari Riau-Lingga. Lagu itu mempunyai bentuk asing dan mungkin mengikut selera pendengar zaman asalnya. Sekarang, ciptaan seperti itu kurang dapat dihayati seperti itu kurang dapat dihayati oleh orang Melayu sendiri terutama oleh generasi muda. Hal ini demikian kerana selera zaman ini tidak sama seperti yang didapati pada waktu seni gamelan dimainkan di Riau-Lingga.

Salah satu usaha yang dilakukan di Universiti Malaya pada tahun 1975 dan seterusnya adalah mengkaji struktur lagu gamelan asli dari segi bentuk melodinya. Kemudian diadakan percubaan sama ada lagu baru dapat dicipta berasaskan ciri-ciri asli itu. Cara itu diharap dapat menambahkan bilangan lagu gamelan untuk dihayati dan dimainkan di mana-mana sahaja. Di Universiti Malaya juga diadakan usaha untuk mencipta cara permainan gamelan dengan lebih tersusun seperti yang dibuat dalam persembahan gamelan Jawa, gamelan Bal, gamelan Degung dan beberapa jenis gamelan yang didapati di Indonesia. Usaha itu adalah sebagai galakan kepada peminat seni muzik gamelan untuk memperkayakan seni itu. Malangnya usaha seperti itu kurang diusahakan di luar kampus.

Memang dari segi bentuk asalnya muzik gamelan terhad kepada beberapa ciri asas seperti tangga nada, peralatan, gaya persembahan dan ciptaannya. Namun begitu gamelan mempunyai ciri-ciri yang asli yang harus dikekalkan seperti irama, peralatan aslinya, ciptaan lagu, dan rentak yang mengiringi lagu. Ciri-ciri itulah yang dikatakan seninya. Kini, banyak usaha yang dibuat yang tidak mengambil kira ciri-ciri asli yang memangnya tidak mudah digambarkan. Ada usaha yang dibuat yang cuba memasukkan ciri-ciri muzik moden atau asing terutama dari Barat yang dengan sendirinya menukarkan corak permainan gamelan. Penggunaan peralatan muzik tambahan terutama peralatan moden seperti gitar elektrik, key-board, peralatan tiupan, memasukkan rentak yang berunsurkan rentak rock adalah mencemarkan ...