I made this widget at MyFlashFetish.com.

Slaid Gamelan IPGM KSAH

Ahad, 27 September 2009

Gamelan Malaysia: Ke Mana Arahnya?

Seni Gamelan Malaysia dipercayai berasal daripada Riau-Lingga dan diperkenalkan di Pahang pada awal kurun ke-19 apabila satu kumpulan pemuzik gamelan bersama satu kumpulan penari yang dikenal dengan panggilan kumpulan joget gamelan diperkenalkan di Pekan, Pahang. Seni itu dijadikan hiburan dalam istana di Pekan dan mencapai tahap kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad (memerintah 1863-1914). Gamelan diterima sebagai muzik istana selama beberapa ketika tetapi diketepikan pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah.

Muzik gamelan tidak kedengaran selama beberapa tahun sehinggalah pada akhir kurun ke-19 berpindah ke Terengganu dan pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin gamelan dijadikan muzik rasmi di istana Kuala Terengganu. Seni gamelan di Terengganu mencapai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman (1920-1942). Kemangkatan Sultan Sulaiman menyebabkan seni gamelan sekali lagi tidak diperdengarkan. Tetapi dengan adanya usaha Tuanku Mariam, seni gamelan terus dimainkan walaupun terhad dalam kawasan istana sahaja.

Rakyat jelata hanya mengetahui seni muzik gamelan pada tahun 1962 apabila muzik itu pertama kali dirakam dan disiarkan oleh Radio Malaya (sekarang Radio Televisyen Malaysia). Akhirnya ramai yang mendesak supaya seni gamelan diperkembangkan ke seluruh negara. Usaha itu bermula pada tahun 1969 selepas diperkenalkan di Festival Muzik dan Drama Asia Tenggara di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Perkembangan dalam kegiatan seni muzik gamelan mula diusahakan oleh peminat seni itu. Mereka mengadakan penyelidikan, mengadakan ceramah dan bengkel. Banyak juga pihak yang berusaha membuat pembaharuan dalam usaha membangunkan seni gamelan. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (sekarang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) pada waktu itu telah memulakan usaha memperkembangkan seni gamelan dengan menggalakkan penubuhan kumpulan muzik gamelan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Jurulatih seni muzik gamelan dari Terengganu dilantik untuk melatih kumpulan yang telah ditubuhkan. Kegiatan ini berkembang ke beberapa badan korporat seperti Penerbangan Malaysia, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, Telekom, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, PETRONAS dan banyak lagi. Perkembangan ini menjadi luas apabila ada badan kesenian lain yang berusaha menubuhkan kumpulan gamelan masing-masing.

Sambil bilangan kumpulan gamelan bertambah di seluruh negara, ada juga usaha untuk memperkembangkan seni muzik gamelan dari segi lagu ciptaan baru dan cara permainan yang lebih dinamik dan terkini. Muzik gamelan yang mula diperkenalkan di Terengganu adalah berbentuk asas iaitu tiap-tiap lagu yang dimainkan mempunyai melodi dan rentak sahaja. Tidak ada gubahan khas yang digunakan dan oleh sebab itulah ada orang yang berpendapat gamelan itu membosankan. Begitu juga dengan jumlah lagu yang biasa dimainkan oleh kumpulan asal di Terengganu. Cuma ada lebih kurang 34 lagu sahaja yang di senaraikan, tidak termasuk beberapa lagu tradisional yang disesuaikan untuk dimainkan oleh kumpulan gamelan seperti lagu “Timang Burung”. Lagu itu sebenarnya adalah lagu Melayu berentak asli yang telah terkenal yang dimainkan dengan menggunakan alat muzik asli tetapi kemudian telah disesuaikan dengan permainan gamelan.

Kebanyakan daripada 34 lagu asli yang tersebut mungkin adalah sebahagian daripada lagu yang berasal dari Riau-Lingga. Lagu itu mempunyai bentuk asing dan mungkin mengikut selera pendengar zaman asalnya. Sekarang, ciptaan seperti itu kurang dapat dihayati seperti itu kurang dapat dihayati oleh orang Melayu sendiri terutama oleh generasi muda. Hal ini demikian kerana selera zaman ini tidak sama seperti yang didapati pada waktu seni gamelan dimainkan di Riau-Lingga.

Salah satu usaha yang dilakukan di Universiti Malaya pada tahun 1975 dan seterusnya adalah mengkaji struktur lagu gamelan asli dari segi bentuk melodinya. Kemudian diadakan percubaan sama ada lagu baru dapat dicipta berasaskan ciri-ciri asli itu. Cara itu diharap dapat menambahkan bilangan lagu gamelan untuk dihayati dan dimainkan di mana-mana sahaja. Di Universiti Malaya juga diadakan usaha untuk mencipta cara permainan gamelan dengan lebih tersusun seperti yang dibuat dalam persembahan gamelan Jawa, gamelan Bal, gamelan Degung dan beberapa jenis gamelan yang didapati di Indonesia. Usaha itu adalah sebagai galakan kepada peminat seni muzik gamelan untuk memperkayakan seni itu. Malangnya usaha seperti itu kurang diusahakan di luar kampus.

Memang dari segi bentuk asalnya muzik gamelan terhad kepada beberapa ciri asas seperti tangga nada, peralatan, gaya persembahan dan ciptaannya. Namun begitu gamelan mempunyai ciri-ciri yang asli yang harus dikekalkan seperti irama, peralatan aslinya, ciptaan lagu, dan rentak yang mengiringi lagu. Ciri-ciri itulah yang dikatakan seninya. Kini, banyak usaha yang dibuat yang tidak mengambil kira ciri-ciri asli yang memangnya tidak mudah digambarkan. Ada usaha yang dibuat yang cuba memasukkan ciri-ciri muzik moden atau asing terutama dari Barat yang dengan sendirinya menukarkan corak permainan gamelan. Penggunaan peralatan muzik tambahan terutama peralatan moden seperti gitar elektrik, key-board, peralatan tiupan, memasukkan rentak yang berunsurkan rentak rock adalah mencemarkan ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan