I made this widget at MyFlashFetish.com.

Slaid Gamelan IPGM KSAH

Sabtu, 17 Oktober 2009

Peranan Alat Muzik Tradisional Melayu Dalam Proses Komunikasi

Masyarakat Melayu di Malaysia kaya dengan pelbagai kesenian tradisional yang unik dan istimewa. Berbeza–beza dari satu tempat ke satu tempat yang lain seperti di negeri Melaka terdapat kesenian dondang sayang, nazam, dabus dan rebana keras. Di negeri Kelantan pula terdapat seni persembahan wayang kulit Kelantan, makyung, menora, tari asyik, dikir barat dan rebana kercing. Di Negeri Sembilan terdapat kesenian randai dan muzik caklempong. Di Negeri Johor terdapat kesenian kuda kepang mabuk, zapin dan ghazal. Di Kedah pula terdapat jikey, wayang kulit gedek dan makyung laut. Di Perak terdapat dabus dan hadrah. Di Pahang pula terdapat muzik gamelan, joget gamelan dan lagu–lagu rakyat.
Kesemua kesenian–kesenian di atas bukan sahaja berfungsi untuk tujuan hiburan malah berperanan sebagai saluran komunikasi tradisional dalam masyarakat. Antara medium komunikasi tradisi masyarakat Melayu yang penting ialah muzik tradisional Melayu.
Penggunaan muzik tradisional Melayu sebagai media warisan amat penting dalam proses komunikasi tradisional tidak hanya melibatkan manusia sahaja, malah peralatan yang menbantu proses tersebut.
Penggunaan alat muzik tradisional dalam proses komunikasi pernah disarankan Abdul Latiff Abu Bakar (2000; 1-7) dalam penulisan yang bertajuk ‘Idea dan Gagasan Gendang Nusantara Sebagai Alat Media dan Seni Rumpun Melayu’. Menurut beliau, “ Gendang boleh digunakan sebagai alat komunikasi tanpa lisan bagi meyampaikan mesej kepada penonton atau orang ramai. Komunikasi Lisan pula disampaikan melalui Lagu mereka, gendang pula sebagai komunikasi Tanpa Lisan yang digunakan bagi menjelaskan sesuatu mesej tersebut dan menaikkan semangat.........”
Penggunaan alat muzik tradisional Melayu sebagai alat media dalam proses komunikasi yang berfungsi memberi maklumat, hiburan dan pendidikan kepada masyarakat.

Gamelan jadi industri di Indonesia

GAMELAN merupakan sejenis alat muzik tradisional warisan budaya yang banyak ditemui di seluruh Nusantara. Gamelan berasal daripada perkataan gamel (Jawa Kuno) dan gambel (Kawi Bali) yang bermakna bermain, dipukul atau palu untuk menghasilkan bunyi-bunyian.
Persembahan muzik gamelan pernah terkenal di Malaysia terutama di kalangan golongan istana di Terengganu dan ia menjadi permainan rakyat di Johor.
Oleh kerana muzik gamelan pernah menjadi budaya seni gemilang di rantau ini, perusahaan membuat peralatan muzik itu perlu didedahkan kepada khalayak agar pengenalan terhadap alat muzik tersebut tidak hilang ditelan zaman.
Perusahaan membuat peralatan gamelan jarang ditemui di Malaysia, tetapi ia banyak tersebar di Kepulauan Bali dan Jawa di Indonesia. Di sana, perusahaan tersebut masih di buat secara tradisional.
Perusahaan gamelan di Bali dan Solo (Jogjakarta) di Indonesia merupakan dua lokasi terkenal dalam pembuatan alat-alat gamelan di Nusantara.
Oleh itu, satu penyelidikan untuk mengenali gamelan dan impaknya dari segi sejarah dan antropologi dunia kesenian Melayu perlu dijalankan.
Gamelan di Nusantara turut dikenali dengan berbagai nama seperti caklempong, kulintang dan lain-lain yang boleh didapati di Sumatera, Sulawesi, Mindanao, Brunei, Filipina dan Malaysia.
Pengaruh
“Gamelan Bali dan Jawa mempunyai ciri-ciri tersendiri berdasarkan pengaruh kehadiran pedagang dan mubaligh Timur Tengah di Pulau Jawa dan tumbangnya kerajaan Majapahit pada abad ke-14 Masehi.
Pembuatan gamelan di Bali dilaksanakan oleh pande (pakar pembikin gamelan), antaranya daripada keluarga Gableran.
Pande Gableran merupakan pembuat gamelan yang terkenal. Alat gamelan yang dibuat oleh keluarga itu halus seninya dan mempunyai nada bunyi yang tersendiri.
Gamelan Gableran dikenali oleh pembelinya dari Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun.
Antara alat-alat gamelan yang dihasilkan di Bali ialah bonang, gender, saron, reyong, trompong dan kempling. Ia diperbuat daripada campuran 30 peratus tembaga dan 70 peratus timah.
“Tembaga dan timah yang dicairkan itu akan dituangkan ke dalam acuan yang dibuat dengan tanah liat.
Proses membentuk gamelan dibuat ketika cairan tersebut masih panas untuk membentuk satu peralatan muzik gamelan yang diperlukan.
Setiap satu orkestra gamelan mempunyai satu set alat muzik yang unik kerana setiap alatannya tidak boleh dipisahkan daripada kumpulan asalnya. Ini kerana alat-alat itu telah dilaras dan menjadi nadi komponen utama kepada sesebuah kumpulan gamelan.’’
Tradisi gamelan dikenali daripada bunyi dan rupanya. Ini kerana ia suatu persembahan yang bersifat kolektif di mana berbagai-bagai jenis alat muzik digunakan dan kaedah paluan menjadi komposisi orkestranya.
Perkembangan gamelan dipenuhi dengan pelbagai tradisi dan kepercayaan dalam masyarakat yang masih mengamalkan kesenian itu.

Rabu, 14 Oktober 2009

Gamelan Melayu Alami Kepupusan


KESENIAN muzik gamelan Melayu sememangnya sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat di negara ini sejak zaman berzaman.

Seni muzik itu dikatakan lahir di Jawa, Indonesia, di mana sumber sejarah menyatakan bahawa gamelan Melayu mula bertapak di Istana Pahang pada kurun ke-19.

Sepanjang perkembangan gamelan di Tanah Melayu, lebih 60 buah lagu telah dicipta tetapi apa yang mendukacitakan, hampir separuh daripada lagu-lagu terbabit dikatakan lenyap begitu sahaja.

Namun, daripada 30 buah lagu yang masih tinggal, hanya 12 lagu sahaja yang selalu dimainkan sehinggalah kini di mana keadaan itu dilihat sebagai cukup membimbangkan.

Ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’, irama gamelan masih terus berkumandang, tetapi ia kini sekadar mengisi ruang pada majlis-majlis rasmi sahaja.

Gamelan bakal berhadapan dengan kepupusan ditelan arus pemodenan andai tidak ada usaha untuk mengembalikan kegemilangannya.

Rabu, 7 Oktober 2009

DARI EN. AFFENDI.

TERUSKAN SEGALA APA YANG ANDA LAKUKAN.